Tuesday, 17 December 2013

LATAR BELAKANG



LATAR BELAKANG TADIKA ALFALAH

Tadika AlFalah telah ditubuhkan pada tahun 2000 telah beroperasi lebih 14 tahun oleh sepasang suami isteri iaitu Encik Fauzi Bin Ramli dan isterinya Puan Nerema Binti Abdullah yang juga merupakan pengusaha tadika ini. Tadika ini terletak di Pulau Pinang beralamat No.1M, Lintang Paya Terubong 4, Bandar Baru Air Itam, 11500 Ayer Itam, Pulau Pinang.  Kedudukan tadika ini yang berada dikawasan deretan perumahan berdekatan dengan perumahan polis menjadikan tadika ini terkenal dikawasan tersebut. Selain itu, tadika ini juga mempunyai cawangan yang beroperasi di kawasan Gelugor.

                Tadika ini merupakan hak milik persendirian sepasang suami isteri ini. Terdapat  lima orang guru yang menjadi tenaga pengajar di tadika ini dan dibantu oleh dua orang pembantu guru serta seorang tukang masak. Kesemua guru di tadika ini mempunyai kelulusan yang cemerlang di mana tiga orang daripadanya mempunyai ijazah sarjana muda dan selebihnya berkelulusan STPM selain mempunyai ilmu dan pengalaman di dalam bidang agama. Tadika ini beroperasi bermula pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari. Di samping itu, terdapat juga pakej penjagaan kanak-kanak selepas waktu belajar daripada pukul 12 tengah hari sehingga 6 petang.

Tadika ini dikenali sebagai Tadika Islam (Islamic Kindergarten) yang mana merupakan tadika yang menggabungkan bidang akademik dan juga agama bagi kanak-kanak yang berumur 4, 5, dan 6 tahun. Pelbagai aktiviti yang diterapkan tidak kira sama dalam bentuk agama, akademik, kesenian, kecerdasan dan sebagainya atas tujuan melahirkan jiwa-jiwa yang kental dan bersemangat serta berpengetahuan luas. Tadika ini berkonsepkan penerapan nilai-nilai murni mengikut Islam di mana subjek Pendidikan Islam dan juga penekanan dari segi fardu ain diterapkan selain murid-murid dilatih untuk mendirikan solat jemaah pada hari Jumaat. Selain itu, mereka juga turut diajar membaca dan menghafal doa-doa harian seperti doa bangun tidur, doa makan, doa menimba ilmu dan sebagainya.

Tambahan pula, subjek Bahasa Arab dan Pendidikan Jawi turut terkandung di dalam silibus pelajaran agar mereka dapat memahami dan mempelajari bahasa syurga ini iaitu Bahasa Arab selain memartabatkan tulisan Jawi yang merupakan warisan bangsa yang tertua di Malaysia ini. Murid-murid di sini juga turut diajar membaca dan menghafal surah-surah pendek yang terkandung di dalam kitab suci AlQuran. Sesungguhnya, anak-anak yang soleh akan melahirkan generasi yang cemerlang.Penubuhan tadika berasaskan konsep Islamic Kindergarten  ini adalah atas dasar ingin melahirkan generasi anak-anak yang mempunyai pendidikan yang cemerlang dari segi akhlak dan agama, akademik, sakhsiah, di samping tidak mengabaikan dari sudut rohani dan jasmani mereka.