LATAR BELAKANG TADIKA ALFALAH
Tadika AlFalah telah ditubuhkan
pada tahun 2000 telah beroperasi lebih 14 tahun oleh sepasang suami isteri
iaitu Encik Fauzi Bin Ramli dan isterinya Puan Nerema Binti Abdullah yang juga
merupakan pengusaha tadika ini. Tadika ini terletak di Pulau Pinang beralamat
No.1M, Lintang Paya Terubong 4, Bandar Baru Air Itam, 11500 Ayer Itam, Pulau
Pinang. Kedudukan tadika ini yang berada dikawasan deretan
perumahan berdekatan dengan perumahan polis menjadikan tadika ini terkenal
dikawasan tersebut. Selain itu, tadika ini juga mempunyai cawangan yang
beroperasi di kawasan Gelugor.
Tadika ini merupakan hak milik persendirian sepasang suami isteri ini.
Terdapat lima orang guru yang menjadi tenaga pengajar di tadika ini dan
dibantu oleh dua orang pembantu guru serta seorang tukang masak. Kesemua guru
di tadika ini mempunyai kelulusan yang cemerlang di mana tiga orang daripadanya
mempunyai ijazah sarjana muda dan selebihnya berkelulusan STPM selain mempunyai
ilmu dan pengalaman di dalam bidang agama. Tadika ini beroperasi bermula pukul 8
pagi hingga 12 tengah hari. Di samping itu, terdapat juga pakej penjagaan
kanak-kanak selepas waktu belajar daripada pukul 12 tengah hari sehingga 6
petang.
Tadika ini dikenali sebagai
Tadika Islam (Islamic Kindergarten) yang mana merupakan tadika yang menggabungkan
bidang akademik dan juga agama bagi kanak-kanak yang berumur 4, 5, dan 6 tahun.
Pelbagai aktiviti yang diterapkan tidak kira sama dalam bentuk agama, akademik,
kesenian, kecerdasan dan sebagainya atas tujuan melahirkan jiwa-jiwa yang
kental dan bersemangat serta berpengetahuan luas. Tadika ini berkonsepkan
penerapan nilai-nilai murni mengikut Islam di mana subjek Pendidikan Islam dan
juga penekanan dari segi fardu ain diterapkan selain murid-murid dilatih untuk
mendirikan solat jemaah pada hari Jumaat. Selain itu, mereka juga turut diajar
membaca dan menghafal doa-doa harian seperti doa bangun tidur, doa makan, doa
menimba ilmu dan sebagainya.
Tambahan pula, subjek Bahasa Arab
dan Pendidikan Jawi turut terkandung di dalam silibus pelajaran agar mereka
dapat memahami dan mempelajari bahasa syurga ini iaitu Bahasa Arab selain memartabatkan
tulisan Jawi yang merupakan warisan bangsa yang tertua di Malaysia ini. Murid-murid
di sini juga turut diajar membaca dan menghafal surah-surah pendek yang
terkandung di dalam kitab suci AlQuran. Sesungguhnya, anak-anak yang soleh akan
melahirkan generasi yang cemerlang.Penubuhan tadika berasaskan konsep Islamic
Kindergarten ini adalah atas dasar ingin melahirkan generasi
anak-anak yang mempunyai pendidikan yang cemerlang dari segi akhlak dan agama, akademik,
sakhsiah, di samping tidak mengabaikan dari sudut rohani dan jasmani mereka.